SMS Kelantan as I Remember

This is a collection of stories and old photos of me, friends, teachers and events during my secondary school years (1975-79) at SMS Kelantan, which is now known as Sek Men Sains Tengku Muhammad Faris Putra. The school itself was started in 1973, and moved to the new campus in 1974 (you'll see grassless field in some pix!)

Best viewed using Morzilla Firefox!

Thursday, December 14, 2006

Tuan Haji Hamdan's Reminiscence

During the recent SEMESTA's AGM, Tuan Haji presented me a copy of this text:

"Titisan Memori Haji Hamdan bin Abd Rahman"
The Cover of the text of his speech on 11 March 2004


It is the text of his speech that he gave during the Majlis Graduasi SMSTMFP 2004 where he was awarded Anugerah Kehormat Kepimpinan Pendidikan (together with Ustaz Alwi Yusof).

In the text,Tuan Haji wrote about his life, from a small boy, all the way to what he is now.
I'll type excerpts of the text that are relevant to our school. It'll take quite a while since I have to read from Jawi (am very berkarat now) and type in Rumi. Please come back to check out!

He has divided it into a few subtopics:
  1. Mukaddimah (I give this title, the rest are as described by Tuan Haji)
  2. Insiden Serban
  3. Episod Kirim Salam
  4. Episod Terima kasih
  5. Episod Pelajar Super-aktif
  6. Episod Dirasuk Hantu
  7. Episod Ibubapa Menyampaikan Hadiah Sukan
  8. Episod Royat Sepatah Mari Selalu
  9. Episod Selamat Tinggal Bungaku
  10. Pesan- to the existing students
Mukaddimah
Di antara banyak-banyak tempat yang pernah saya khidmati, SMSKelantan yang sekarang berubah nama menjadi SMS Tengku Muhammad Faris Putra inilah yang memberikan saya kepuasan professional paling tinggi walaupun tempoh perkhidmatan saya di sini hanya 15 bulan 16 hari. Kisah bermula pada bulan Oktober 1977 selepas selesai satu mesyuaratpara pengetua maktab perguruan. Ketika bersalaman dengan Ketua Pengarah Pelajaran waktu itu yaitu Dato' Murad Mohd Noor, beliau bertanya saya, "Where are you now?", saya jawab "I am in Gaya College, Dato'. My term is almost expired". Tiba-tiba beliau panggil pengarah Latihan Guru lalu berkata "Haji Ali, You take Rahmah in and we will send Hamdan there because he is a man". Sebelum ini nama saya sudah keluar untuk menjadi timbalan pengarah pendidikan Terengganu. Kemudian untuk menjadi timbalan pengetua maktab perguruan jiran kita ini. Sudahnya saya ke mari.

Saya tidak tahu menahu pokok pangkal keputusan ini. kemudian baharulah saya tahu rupanya ketika itu ada beberapa hal dalam sekolah ini yang tidak menyenangkan pihak kementerian, dan saya diarah datang ke mari untuk memperbetulkan keadaan. Saya menjejakkan kaki di perkarangan sekolah ini pada 15 Dec 1977. Ustaz Muhd Alwi, penolong kanan, mengalu-alukan kedatangan saya. Saya langsung meminta taklimat hal sekolah ini serta mengelilingi kawasannya. Kami mula mengatur langkah..

Episod Serban
Malam tahun baharu mengjelang pembukaan penggal pertama persekolahan tahun 1978 lepas maghrib, saya dikunjungi oleh sekumpulan pelajar yang semuanya memakai serban. Selepas berkenal-kenalan mereka mengemukakan mengemukakan satu persoalan apakah boleh mereka memakai serban dalam semua aktiviti sekolah. Mereka mengemukakan hujjah mengapa mereka patut dibenarkan memakai serban. Saya kata boleh dengan syarat kena pada tempat dan masanya serta tidak menyebabkan orang mengumpat. Kalau kerana perbuatan kita orang lain mengumpat ini bermakna kita menyebabkan saudara kita melakukan dosa umpama memakan daging mayat saudaranya. Saya tidak dapat menghormati orang yang menjadi penyebab saudaranya berdosa tidak pasal-pasal. Mereka akur dengan saya.

Episod Kirim Salam
Terdapat sebilangan pelajar yang terlajak laku dan ditangkap oleh guru disiplin. Dalam kes seumpama ini lazimnya pengetua akan memberitahu ibubapa menerusi surat. Bila anak balik dan ditanya oleh ibubapa, si anak selalu berbohong. Jadi ibubapa menafikan tuduhan pihak sekolah dan berasa marah kepada pengetua. Saya buat cara lain. Saya kurung pesalah-pesalah itu dalam sebuah bilik darjah lalu saya utus beberapa orang guru pergi menjemput ayah atau ibu murid berkenaan.

Saya pesan kepada guru-guru itu mula-mula sekali katakanlah bahawa cikgu besar kirim salam. Kemudian katakan guru besar mempersilakan ibubapa tadi datang menemuinya, di sekolah boleh, di rumahnya pun boleh, untuk berbincang tentang anak mereka. Masa terserah pada kelapangan dia. Mereka datang saya layan. Saya minta maaf terlebih dahulu kerana menyusahkan dia.

Apabila dia tanya tentang anak, apakah anaknya itu nakal, saya kata tidak, cuma mungkin terikut-ikut tingkah laku budak lain sahaja. Kemudian saya panggil anak dia dan saya suruh pelajar itu memberitahu ayahnya di hadapan saya tentang apa yang telah dia lakukan termasuk mencuri minuman botol dari kantin sekolah. Terdiam bapa pelajar itu.Tidak terdaya dia menafikan keterlanjuran anaknya. Bahkan ada pula bapa yang menganjurkan supaya anaknya dibahan (smz: pukul?) di hadapan budak-budak lain. Saya tidak setuju. Akhirnya dia menerima hukuman yang saya kenakan kepada anaknya dengan hati terbuka.


Episod Terima kasih
Sehubungan dengan episod di atas ada seoran bapa yang awal-awal lagi sudah merungutkan perihal kelakuan murid sekolah ini. Rungutan itu dikeluarkannya pada guru yang saya utuskan untuk menjemput dia. Namun dia datang juga dan menanya saya bermacam-macam untuk mrnunjukkan bahawa anaknya itu budak baik. Semua pertanyaannya saya jawab dengan sempurna. Dia balik. Selesai babak satu.

Babak kedua berlaku setahun kemudian ketika pecah khabar yang saya akan ditukarkan ke Kuala Lumpur. Saya terima satu panggilan telefon daripada hamba Allah ini. Dia ingin berjumpa saya sebelum saya berangkat ke Kuala Lumpur. Saya terima kedatangannya di rumah pengetua. Dia suami isteri datang membawa beras pulut segantang dan telur itik barangkali sepuluh biji. "Hamba datang ini cikgu tidak ada apa-apa satu, cuma hendak meroyakkan terima kasih sahaja. Saya tahulah anak saya si Polan itu memang liar sedikit, maklumlah dia anak bungsu. Jadi abang-abang dan kakak-kakak dia sepakat memberi dia hadiah bermacam-macam. Tetapi sejak cikgu panggil saya dengan mak cik dulu, saya nampak budak ini berubah hala kebaikan. Itulah tujuan saya ke mari ini, hendak beri terima kasih kepada cikgu". Saya kira inilah hadiah yang paling bernilai bagi saya, yang tidak akan dapat dibeli dengan wang ringgit.


Episod Pelajar Super-aktif
Nama sebilangan pelajar super-aktif tingkatan lima yang sering terlajak laku pada masa-masa yang lalu memang telah diberikan kepada saya. Butir-butir kesalahan sudah saya ketahui. Selepas keluar keputusan periksa mereka semua akan meminta pengesahan fotokopi slip keputusan . Biasanya Ustaz Muhammad Alwi yang menandatangani. Tahun itu saya sendiri!

Saya tunggu pelajar super-aktif nombor wahid. Apabila dia sampai lau menghulurkan fotokopi slip keputusannya barangkali lebih dua puluh salinan, saya tandatangan lima enam salinan. Kemudian berhenti pura-pura baru teringat, saya tanya dia "Bukankah kamu terlibat dalam peristiwa begini-begini pada tahun sekian-sekian?". "Bukankan pegawai dari kementerian pelajaran datang menyoal kamu?". "Cuba ceritakan apa sebenarnya yang berlaku". Dia terpaku, tergamam, lalu menceritakan keseluruhannya kepada saya. Saya terus tandatangani slip keputusannya sebanyak yang dia minta. Saya serahkan kembali kepadanya sambil berkata, "Saya doakan awak berjaya mendapat apa yang awak hajatkan".

Balik ke asrama dia ceritakan peristiwa ini kepada gengnya. Pada keesokan harinya satu geng pelajat super-aktif datang ke pejabat saya. Mereka membuat pengakuan dan meminta maaf atas keterlanjuran mereka. Mereka beritahu punca mereka jadi begitu. Rupanya mereka ini merupakan pemain sukan handalan. Mereka dipandang oleh para pelajar sebagai wira. Mereka merupakan ayam tambatan pelajar dan sekolah. Kerana itu jika mereka melakukan apa-apa ketelanjuran semua pelajar melindungi mereka.

Sebelum mereka beredar dari pejabat, ketua mereka berkata, "Kalau cikgu ada apa-apa projek yang perlukan tenaga sila panggil kami. Kami akan beri sokongan penuh demi kebaikan sekolah. Saya terima mereka dengan baik.



Episod Dirasuk Hantu

Asrama puteri sekolah ini rupa-rupanya mengusik, berhantu. Pada satu malam beberapa orang pelajar puteri demam dan ada yang mempunyai tanda-tanda macam dirasuk hantu. Ketua pelajar puteri menemui saya menceritakan hal. Mula-mula saya buat bodoh dan suruh hantar ke hospital. Mereka kelihatan mewek-mewek macam hendak menangis sambil menceritakan keadaan yang agak luar biasa itu. Saya acah mereka. "Kamu ini orang sains pun percaya hantu?". Bagaimanapun, akhirnya saya ikut mereka pergi ke asrama. Sebelum saya bergerak saya berkata kepada mereka "Okay girl, you listen carefully. Jika betul budak itu dirasuk syaitan, dia tidak akan berani menentang dua biji mata saya".

Sampai di asrama saya dekati katil pelajar yang demam itu satu demi satu. Nampaknya semua sekali demam biasa sahaja. Namun begitu dengan pertolongan Allah apa yang saya katakan tadi sungguhlah berlaku. Apabila saya sampai di katil paling hujung dan saya panggil nama pelajar yang terbaring di situ dia pun membuka mata. Demi bertentang sahaja mata dia dengan dua biji mata saya lantas dia menjerit serta menghalau saya. "Pergi! Pergi! Jangan mari sini". Saya menoleh ke arah ketua pelajar puteri sambil menganggukkan kepala sebagai isyarat sahih budak yang seorang ini dirasuk syaitan.

Kami panggil bomoh untuk menawarnya. Akan tetapi anih, ketika bomoh itu tiba, syaitan itu sudah keluar dari tubuhnya, Dalam tercengang-cengang itu kedengaran suara pelajar lain mengilai. Oh! Rupanyan syaitan ini telah melompat ke dalam body orang lain. Peristiwa malam itu dapat diselesaikan dengan baik tetapi keesokan harinya sejumlah pelajar puteri tidak dapat datang ke kelas kerana masih terketar-ketar ketakutan.

Untuk menenangkan keadaan, maghrib petang esoknya saya solat di asrama puteri. Saya beri sedikit syarahan tentang makhluk ghaib dan bagaimana mereka boleh merasuk manusia. Saya beritahu bahawa orang yang paling berpotensu untuk kena rasuk ialah yang lemah semangat terutama puteri-puteri yang mengidap sakit senggugut. Keesokan harinya pejabat pengetua bertukar menjadi macam klinik. Berpuluh orang pelajar puteri yang mengalami sakit senggugut datang minta kebenaran khas untuk keluar dari pekarangan sekolah kerana berubat. Lepas daripada peristiwa itu semua pelajar puteri tidak lagi takut. "Lain jkali kalau ada lagi budak kena rasuk panggil tuan pengetua. Kalau tak berani menentang mata dia sahih kena rasuk. Panggil bomoh. Selesai".


Episod Ibu Bapa Menyampaikan Hadiah Sukan

Sukan tahunan 1978 dilangsungkan ketika orang sedang demam pilihanraya. Jadi tiada pembesat yang dapat datang untuk merasmikannya dan menyampaikan hadia kepada para pemenang. Dalam termenung memikirkan hal ini tuhan telah mendatangkan suatu ilham kepada saya, yaitu untuk menjemput para ibu bapa. Saya mahu semua kalangan mesti diwakili, daripada yang memakai "bush jacket" hinggalah yang memakai serban atau semutar. Demikian juga ibu-ibu yang yang setengahnya makan sirih. Peristiwa ini menjadi buah mulut seluruh negeri.

Tanpa disangka rupa-rupanya hal ini telah memberi kesan yang positif di kalangan para pelajar. Selepas acara berakhir tanpa disuruh-suruh para pelajar secara sukarela telah merubuhkan semua khemah dan mengutip segala sampah sarap yang ada di padang sehingga menjelang waktu maghrib padang sekolah ini kembali menghijau lagi bersih.


Episod Royat Sepatah Mari Selalu
Saya dan Ustaz Muhammad Alwi telah memulakan suatu tradisi yaitu setiap malam Jumaat semua pelajar mesti solat maghrib dan isyak di dewan. Kami berdua menjadi imam. Kesan daripada tradisi ini ialah apabila berlaku sesuatu kejadian yang tidak diketahui siapa pelakunya, lazimnya saya akan minta pelakunya itu tampil membuat pengakuan dan saya beri tempoh sampai hari Khamis. Kalau sampai hari Khamis tiada yang mengaku maka malam Jumaat itu kita baca surah yasin minta tuhan tunjukkan siapa pelakunya.

Selama saya berada di sini saya rasa semua yang bersalah telah datang membuat pengakuan. Rupanya ini telah menyebabkan mandur kanan sekolah ini merasa bersalah kerana gagal menangkap pelajar-pelajar yang terlajak. Pada satu hari dengan termengah-mengah dia masuk ke pejabat saya. Dia beritahu saya bahawa para pekerja sekolah ini sentiasa mengintai pelajar-pelajar yang buat salah tetapi tidak pernah kedapatan. Lalu dia bertanya saya, "Ilmu apa yang cikgu pakai ini, royat sepatah mari selalu".

Episod Selamat Tinggal Bungaku
Kenangan saya yang paling manis ialah pada hari terakhir saya di sini. Sesudah mengucapkan selamat tinggal dalam perhimpunan di dewan tiba-tiba Sabariah, ketua pelajar puteri meluru naik ke pentas. "Kami pelajar-pelajar puteri meminta tuan pengetua mainkan lagu Selamat Tinggal Bungaku dengan piano sebelum bertolak meninggalkan kami semua". Saya penuhi permintaan itu. Saya mainkan lagu Selamat Tinggal Bungaku dengan piano. Dalam asyik memainkan lagu itu kedengaran di telinga saya isak-isakan para puteri. Saya percaya isakan itu memang isakan sungguh bukan sandiwara, sebaliknya tanda sayang yang sebenar-benarnya kepada saya. Selepas peristiwa pelajar dirasuk syaitan dulu saya lihat semakin jelas pelajar-pelajar puteri memandang saya macam ayah mereka sendiri, bahkan mungkin ada yang lebih.


Pesan
Kepada putera puteri, Engkau adalah bunga bangsa harapan nusa. Hari ini sebenarnya bukanlah titik penghabisan babak hidup yang sedang dilalui. Sebaliknya adalah titik permulaan suatu babak hidup yang baru, yaitu babak yang lebih panjang lagi berliku-liku. Aku telah tayangkan liku-liku perjalanan hidupku. Maka kalau engkau yang berada di dewan hari ini ingin mengambil iktibar dari cebisan-cebisan episod riwayat hidupku di atas ini jangan sekali-kali engkau lupa akan perkara-perkara berikut:

Pertama, bahasa merupakan alat yang terpenting untuk memperolehi sesuatu maklumat dan menyebarkan maklumat. Bahasa adalah alat mengatur buah fikiran. Buktinya Allah mengajar Adam alaihissalam nama segala benda. Oleh itu penguasaan satu-satu bahasa adalah penting dan menjadi anak kunci kejayaan dalam pembelajaran.

Sehubungan dengan itu belajar satu-satu bahasa itu tidak akan berkesan melainkan mesti digunakan sebanyak mungkin. Saya berasa agak terkilan waktu di sini dahulu kerana ramai pelajar sekolah ini tidak mahu bercakap bahasa Melayu baku. Bahasa Inggeris sementelahan pula. Akibatnya mereka dapat mencapai A dalam mata-mata pelajaran Sains tetapi Bahasa Melayu hanya P6 dan Bahasa Inggeris P8. Ini menyempitkan peluang untuk ke tahap yang lebih tinggi disebabkan kelemahan bahasa. Ekoran daripada hal ini saya mulakan satu langkah yaitu saya tetapkan satu hari dalam seminggu semua komunikasi dalam pekarangan sekolah hendaklah dilakukan dalam Bahasa Inggeris. Saya juga pernah menyeru ibu bapa supaya jangan menggiat anak-anak mereka jika dia bercakap dengan Bahasa Melayu baku atau Bahasa Inggeris. Saya tekankan ini kerana pada pengamatan saya orang Kelantan ini mempunyai perasaan yang kuat untuk mempertahankan budayanya termasuk dialeknya. Kalau dia dengar orang tempatan bercakap bahasa baku kadang-kadang dia komen, "Heh! Hagah teh! Kecek luar". Memang ini tidak salah. Cuma ini boleh menghalang anak-anak daripada mempelajari bahasa yang lain.

Rahsia kejayaan saya, lepas sekolah atap dapat menguasai bahasa Inggeris walhal tidak pernah belajar dalam sekolah orang putih adalah terletak pada keberanian saya menggunakan bahasa itu di mana sahaja ada peluang. Saya seru ambillah ini sebagai iktibar.

Jika ditakdirkan pada masa hadapan yang terdekat ini anda dapat melanjutkan pelajaran di luar negara, elakkanlah duduk di perkampungan siswa Melayu kerana ini memungkinkan anda bercakap Melayu lebih daripada Bahasa yang anda perlu tingkatkan penguasaannya untuk belajar. Siswa kita di Universiti Al-Azhar mengalami kelemahan dalam Bahasa Arab kerana mereka duduk di perkampungan Malaysia.

Kedua, saya tidak menunggu saat akhir untuk mempastikan kefahaman yang betul tentang tajuk-tajuk pelajaran yang baharu dan untuk mengulangkaji pelajaran. Rugi jika kita tidak memanfaatkan masa luang seawal mungkin. Benar firman tuhan "Demi masa, sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian".

Ketiga, apabila kita mendengar syarahan atau kuliah pensyarah tentu kita beroleh mafhum. Tetapi adalah mafhum yang kita dapat itu tepat, dan lengkap? Belum tentu. Bagaimana untuk mempastikan supaya yang kita perolehi itu tidak terpesong dan tidak berkurangan? Jika ditakdirkan fahaman kita itu terpesong atau tidak lengkap bagaimana untuk mendapatkan yang tepat dan lengkap?

Amalan saya ialah apabila ada orang bertanya atau guru menyoal tentang apa sahaja butiran pelajaran, saya akan mendahului orang lain untuk cuba memberikan jawapan. Mrngapa? Kalau betul, guru akan mengsahihkannya, kalau salah guru akan menunjukkan yang betul. Janganlah yakin sangat, janganlah syok sendiri bahawa fahaman atau tanggapan kita itu betul. Takut tanggapan kita itu salah dan memberi akibat buruk dalam peperiksaan.

Inilah pesan saya selaku bapa dan guru yan ingin melihat anak-anak dan murid-muridnya berjaya mengangkatkan darjat bangsa dan negara tanpa mencemarkan dan menghakis nilai-nilai murni yang telah sama-sama kita warisi sejak ribuan tahun yang lalu.

Oh, ya. Teringat pula saya, masa sekolah dulu saya diberitahu nama tempat ini ialah Pengkalan Chempa? Yaitu pengkalan tempat para pelaut bangsa Champa dari Kemboja berlabuh dan mendarat. Macam mana bunyi "mim"nya boleh hilang hingga tinggal Pengkalan Chepa? Serupakah dengan kehilangan bunyi "mim" pada perkataan "jupa, napak, capak'"? Kehilangan bunyi "da" pada nama pak cik "ud", itu macam mana pula? Serupakah nama dia dengan nama Ustaz Daud? Saya hendak tanya bersahaja-sahaja. Janganlah marah, nanti lekas tua.

Hadirin-hadirat yang saya muliakan,
Hari ini saya sudah sampai di penghujung senja. Usia sudah pun melebihi usia Rasulullah ketika wafatnya baginda. Saya sekarang hidup dalam usia bonus. Bila-bila masa sahaja tuhan boleh menjemput saya kembali mengadapnya. Maka pada kesempatan ini saya ingin memohon ampun dan maaf kepada tiap-tiap orang yang ada di sini atas apa jua tutur kata dan tiap-tiap tingkah laku yang kurang menyenangkan tuan-tuan dan puan-puan. Mohon sampaikan salam hormat dan ampun maaf saya kepada warga negeri ini yang pernah mengenali saya intimewa para petugas yang pernah bekerja di sekolah ini yang mungkin tidak dapat saya temui sehari dua ini.

Kepada Tuan pengetua dan kakitangan sekolah yang bersusah payah mencari kami untuk diberi anugerah hari ini saya mewakili mereka merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan.

Anak Haruan lima-lima
Mati ditimpa ppunggur berdaun
Budi tuan kami terima
Tak kan ku lupa ribuan tahun

Buatlah baik ayuhai rakan
Ke dalam laut kamu campakkan
Biarpun tidak dikenal ikan
Tuhanmu tahu iakah bukan

Kepada putera puteri bunga bangsa harapan nusa, ingatlah:

Kecil akan besar
muda akan tua
Hidup akan mati
Bilatah lagi??

Awan beralih bulan cemerlang
Cahayanya jelah bukan buatan
Menjadi terang di hutan duri
Bila beroleh nasib yang malang
Bukan salah takdir suratan
Hanya kurang ikhtiar sendiri

Kepada para ibubapa:

Jika anak tidak dilatih
apabila besar bapanya letih
Jangan biarkan kecil-kecil anak
sudah besar jadi onak

Hadirin hadirat Rahmakumullah,

Memberi sedekah kepada peminta - tidak menjadikan englau papa
Memberi maaf begitu juga - tidak menjadikan engkau hina
Demikian nabi empunya sabda - buat ingatan umat semesta
Jangan hendaknya kita alpa - takut neraka nanti padahnya
Oleh itu wahai saudara - ampun maaf segera ku pinta
Terlanjur lidah lancang bahasa - tersilap langkah telanjur kata
Apabila sampai khabar berita - aku dijemput mengadap yang Esa
Susah payah tidak ku pinta - berlebih ringgit zakatkan sahaja
Sebagai tanda kawan setia - di alam akhirat bahkan dunia
Serangkai fatihan sudah memada - ubat kesunyian sebatang kara

Wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..


Note: The above is the second half of his text. The first half is about his childhood, and the learning process that he went through .i.e . from "anak jawa" (as he puts it) who couldn't speak Malay, to one who actually studied in London for his MA!!
I am not sure if there is audience/reader for this part, but I surely enjoyed reading it (the first part) as much as the second part. Any vote/request?? tapi memang penat lah menaip.....
He divided the first half into subtopics too, i.e.
  1. Episod Masuk Sekolah Tidak tahu Bahasa
  2. Episod Belum Bersunat Sudah Jadi Guru
  3. Episod Masuk ke Institusi Pendidkan Melayu Tertinggi di Dunia
  4. Episod Penguasaan Bahasa Inggeris Dari Pergaulan
  5. Episod Lepasan Sekolah Atap disangka Lulusan Inggeris
  6. Episod Saat Paling Kerdil
  7. Rahsia

Note: I've written earlier about Tuan Haji here .

3 Comments:

Post a Comment

<< Home